Sarawak Mahu Maksimumkan Minyak, Gas

30 Jul 2015

BINTULU, Rabu – Sarawak mahu memaksimumkan sumbangan sektor minyak dan gas (O&G) kepada ekonomi negeri itu dengan menjadikan Bintulu sebagai hab petrokimia di Malaysia.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata untuk itu, Sarawak akan terlibat dalam membangunkan produk hiliran industri O&G bernilai tinggi seperti kimia halus dan khusus.

“Kami mempelawa syarikat petrokimia membuka kilang di Sarawak dan kami menimbang semua cadangan yang berdaya maju serta memudahkan urusan mereka,” katanya.

Adenan berkata demikian selepas merasmikan majlis pecah tanah kilang HU-CHEMS Malaysia bernilai US$1 bilion di Tanjung Kidurong di sini, Rabu.

Beliau berkata Sabah mahu menjadikan industry petrokimia sebagai antara pemacu utama pertumbuhan sektor pembuatan di Sarawak.

Dengan berbaki lima tahun untuk merealisasi negeri maju selari dengan negeri lain di Malaysia, Adenan berkata Sarawak tidak mempunyai formula lain selain memanfaatkan industri menggunakan sumber asli.

Ekonomi Sarawak kini adalah yang ketiga terbesar di Malaysia selepas Selangor dan Kuala Lumpur.

Bagi merealisasikan objektif ini, Sarawak kini memberi tumpuan ke atas pembangunan hiliran O&G yang dikenal pasti antara 10 keutamaan dalam Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE).

“Ini penting memandangkan Sarawak menyumbang 26 peratus kepada pengeluaran petroleum negara dan 56 peratus pengeluaran gas asli,” kata Adenan.

Adenan berkata keputusan HU-CHEMS Fine Chemical Corp Korea Selatan melabur di Sarawak merupakan langkah penting dalam merealisasikan objektif itu.

Sebagai tanda sokongan, Adenan berkata Sarawak akan menyediakan bekalan gas asli yang diperlukan oleh HU-CHEMS bagi memastikan kejayaan kompleks kimia Tanjung Kidurong.

“Untuk itu, saya sudah menulis surat dan bercakap sendiri dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Mohd Najib Razak) mengenai perkara ini dan beliau bersetuju PETRONAS membekalkan gas asli kepada HU-CHEMS mengikut perjanjian yang dimeterai bersama HU-CHEMS pada 1 Dis 2014.

“Oleh itu, saya mahu PETRONAS memuktamadkan perjanjian induk dengan kerajaan negeri mengenai bekalan gas asli untuk kedua-dua sektor tenaga dan bukan tenaga dengan menyegerakan Perjanjian Bekalan Gas (GSA) dengan HU-CHEMS,” katanya.

Pemeteraian GSA kritikal bagi HU-CHEMS yang dijangka memulakan pembinaan kilang bulan depan (Ogos).


>> Back to News Updates


Stay Updated